Oleh: Abdullah Zaid
KEADILAN Kelantan akan menggerakkan jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Mantan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan lalu.
"Setakat ini kita menyusun cabang mana yang ditugaskan mengikut jadual supaya gerak jentera kita lebih tersusun dan konsisten.
"Kita juga akan mengikut arahan pusat bagi membantu memenangkan calon Barisan Nasional," katanya.
Semalam, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR), Nik Raisnan Daud mengumumkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (calon nombor dua), sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan merebut kerusi DUN Nenggiri.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu berhadapan dengan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK diadakan selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan pada 13 Jun lalu ekoran dipecat oleh Bersatu.
SPR menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan hari ini sebagai hari penamaan calon.
Manakala, hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan bagi memberi ruang kepada 14 pengundi memilih secara pos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Comments