Oleh: Abdullah Zaid
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tiba di tempat mengundi di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, pagi tadi.
Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie tiba di pusat mengundi pada 8.20 pagi bersama isterinya, Nur Kamila Mat Zain, 38.
Awie yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan bertembung satu lawan satu antara dengan calon Perikatan Nasional (PN)
Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan lambang Pas.
Lokasi mengundi Tabika Sri Bakawali bakal menjadi tumpuan susulan kedua-dua calon berkenaan akan membuang undi di tempat yang sama.
Bermula jam 8 pagi tadi, sebanyak 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka untuk proses pengundian dan ditutup secara berperingkat antara jam 2 dan 6 petang.
DUN Nenggiri diisytihar kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim dikosongkan kerusi oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.
Wakil Bersatu itu digugurkan keahlian parti pada 13 Jun lalu susulan sokongan beliau kepada Perdana Menteri menerajui Kerajaan Perpaduan.
Untuk rekod, Nenggiri adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan yang pertama diadakan ialah PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), disusuli PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) serta PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
Comments