Calon Perpaduan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menyeru pengundi di DUN Nenggiri mengambil kesempatan untuk keluar membuang undi bagi menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang baharu.
Beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Awie’ itu terlebih dahulu tiba di pusat mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama pada 8.20 pagi bersama isterinya, Nur Kamila Mat Zain, 38.
"Alhamdulillah, saya selesai mengundi dan saya juga mengharapkan semua pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab.
"Semestinya selepas 14 hari berkempen dan hari ini adalah hari penentuan. Carilah wakil rakyat yang terbaik mewakili DUN Nenggiri," katanya dipetik Bernama.
Pagi tadi, pusat mengundi berkenaan menjadi tumpuan berikutan calon Barisan Nasional (BN) dan calon pembangkang mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail turut mengundi di lokasi yang sama.
"Saya dengan Rizwadi adalah rakan dan kami juga sekampung. Hubungan sahabat tidak menjadi masalah kerana yang membezakan kami hanya parti.
"Ukhwah antara sahabat tetap kita jaga," ujarnya.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar akan membuang undi PRK Nenggiri bagi memilih wakil rakyat baharu selepas penyandangnya Azizi Abu Naim dikosongkan kerusi oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.
Setakat jam 1.00 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan peratusan keluar mengundi PRK DUN Nenggiri amat baik iaitu mencatatkan 58.79%.
Comments