Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyambut baik muafakat UMNO-BN meletakkan calon anak muda di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Menurut Setiausaha AMK, Omar Mokhtar, mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan yang berlangsung pada 18 Julai lalu telah sebulat suara menyatakan dukungan kepada calon UMNO di Nenggiri dengan menurunkan jentera kempen AMK.
Mesyuarat itu juga, katanya, bersetuju melantik Ketua AMK Negeri Kelantan, Ezzat Hanuzi sebagai Pengarah Pilihan Raya AMK bagi PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini.
"Kami menyambut baik keputusan Barisan Nasional mengumumkan Saudara Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani sebagai calon. Keputusan meletakkan calon muda itu bertepatan dengan keperluan politik semasa di negeri Kelantan.
"AMK akan memberikan seluruh dukungan dan sokongan sepanjang tempoh berkempen serta memastikan beliau mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Omar, AMK berikrar akan memastikan jentera anak muda parti itu berusaha sebaik mungkin untuk merampas kembali DUN Nenggiri daripada tangan Bersatu-PN.
"Secara keseluruhan, AMK akan menumpukan segala kekuatan dan usaha dalam memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan di kerusi DUN N.43 Nenggiri. Kami bertekad untuk membawa perubahan yang positif dan memastikan aspirasi rakyat di DUN Nenggiri dapat direalisasikan.
"Dengan semangat dan komitmen yang tinggi, AMK yakin bahawa cabaran ini mampu dihadapi bersama-sama rakan komponen di dalam Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil itu," katanya lagi.
PRK Nenggiri diadakan berikutan Speaker DUN menyatakan berlaku kekosongan kerusi di DUN berkenaan berikutan wakil rakyatnya, Mohd Azizi Abu Naim, mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Yorumlar