top of page

PRK Mahkota: Zahid ingatkan jentera BN-PH jangan ambil mudah



Oleh: Abdullah Zaid


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera Perpaduan tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebaliknya perlu mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mengekalkan kerusi yang dimenangi sebelum ini.


Kata beliau walaupun atas kertas jumlah majoriti yang dicapai Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih daripada 5,000 undi, namun blok Perpaduan tidak boleh ambil mudah.


"Jangan terlalu bangga dengan kemenangan yang diperoleh Allahyarhamah Sharifah tetapi kita mesti berusaha untuk memperoleh kemenangan.


"Kita mesti pujuk pengundi-pengundi, walaupun di atas kertas kita menang tetapi kemenangan ini cukup penting untuk gambarkan kepercayaan rakyat kepada kita," katanya ketika merasmikan Pusat Operasi Perpaduan di Kluang, hari ini.


Terdahulu Timbalan Perdana Menteri itu bersama rakan-rakan blok Perpaduan, hadir mengiringi calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah ke pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, pagi tadi.


Dalam pada itu, Zahid yang juga Presiden UMNO merakamkan penghargaan atas sokongan rakan-rakan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan kepada calon BN di Mahkota.


Pada masa sama beliau turut melahirkan keyakinan Hussien meneruskan legasi BN di DUN Mahkota.


Katanya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang yang mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah Cina itu diyakini boleh mewakili semua rakyat di Mahkota.


"Saya yakin dengan kemenangan Hussein beliau ‘buta warna’ dan boleh bantu semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India untuk majukan DUN Mahkota," ujarnya.


Selain itu, menyentuh isu-isu berbangkit melibatkan komponen parti dalam blok Perpaduan, Zahid berkata, pendekatan melalui meja perbincangan perlu diambil bagi memastikan hubungan antara gabungan parti kerajaan terus kukuh.


"Saya mengharapkan jika ada masalah sekecil manapun kita selesaikan, kalau ada perbezaan sedikit pun kita selesaikan, saya telah minta jangan ada kenyataan-kenyataan yang bertentangan antara pemimpin-pemimpin parti.


"Kita berdamai sepanjang kempen dan selepas (PRK) kita terus berdamai antara pemimpin-pemimpin parti, jika ada perbezaan pendapat kita bincang," ujarnya.


PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara wakil Perpadun Syed Hussien Syed Abdullah (calon nombor satu) dengan calon Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi berkenaan.


PRK DUN di bawah Parlimen Kluang itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.


Untuk rekod, PRK Mahkota adalah siri PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

0 comments

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page