Pesta Tanglung menjadi platform Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan kerjasama erat dalam kempen pertama secara bersama bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan MCA turut menunjukkan sokongan kepada gabungan itu.
Acara anjuran Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor di Kluang, Johor semalam itu menyatukan anggota parti politik DAP dan MCA dalam misi untuk mempertahankan kerusi BN di DUN Mahkota.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya pada acara itu berkata rakyat Johor sangat bersatu padu walaupun berbeza latar belakang dan pelbagai kaum.
"Kerajaan Negeri bukan sahaja giat menggalakkan pembangunan ekonomi di zon ekonomi khas, ia juga akan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur di Kluang.
"Pembangunan di Wilayah Iskandar juga akan merentasi pelbagai kawasan, termasuk Kluang. Justeru itu perlunya seorang ADUN yang dinamik dan memahami denyut nadi rakyat untuk memperkukuh pasukannya dan semua pengundi di DUN Mahkota diseru supaya mengundi calon BN, Syed Hussien," katanya dipetik dari hantaran dimuat naik oleh Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam di Facebook.
Hadir sama pada acara itu ialah wakil rakyat Yong Peng, Ling Tian Soon dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang turut menggesa pengundi memberikan sokongan penuh kepada Syed Hussien pada PRK ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Exco Johor yang juga ADUN Paloh, Lee Ting Han dan ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng serta ADUN Mengkibol Chew Chong Sin.
Apa yang menarik perhatian ialah apabila Wong memakai cheongsam yang seakan sedondon dengan baju kemeja yang dipakai oleh Wee.
Wong dalam ucapannya dalam bahasa Mandarin mengucapkan selamat merayakan pesta tanglung dan menyeru orang ramai mengundi calon BN Syed Hussein Syed Abdullah.
"Undi (masyarakat) Cina sangat penting dalam pilihan raya kecil ini. Kita sekarang tidak berapa dalam keadaan pasti menang," katanya dipetik dari portal berita Malaysiakini.
Dalam PRK Kuala Kubu Bahru pada Mei lalu, MCA tidak turun berkempen membantu calon DAP yang mewakili parti kerajaan dan pendirian sama turut ditunjukkan dalam pilihan raya kecil Sungai Bakap yang ditandingi oleh calon KEADILAN dan PRK DUN Nenggiri yang diwakili oleh calon UMNO.
Bagaimanapun pada kempen PRK Mahkota, MCA mengambil pendirian memberikan sokongan kepada calon BN yang diwakili UMNO sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu.
Wee dalam beberapa hantaran di Facebook turut memuat naik aktiviti kempen yang disertainya bersama Syed Hussein.
Kempen PRK tersebut juga tidak terganggu dengan insiden pertikaman lidah antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dengan pemimpin DAP ekoran isu pensijilan halal.
Kommentare