Oleh: Abdullah Zaid
Tumpuan terarah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan membuka tirai kempen selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.
Proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail dijangka bermula pada 9 pagi ini.
Setiap calon diberi tempoh satu jam untuk menyerahkan borang pencalonan mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Pilihan raya berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari mengundi manakala hari mengundi awal pada 24 September.
Menurut SPR, seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Setakat ini, PRK Mahkota adalah siri PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan DUN Nenggiri (Kelantan).
Comments