Tuduhan Perikatan Nasional (PN) kononnya sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) menurun meskipun memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Sabtu lalu adalah tidak benar sebaliknya menunjukkan peningkatan terutamanya melibatkan undi Melayu.
Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, undi daripada semua kaum kepada gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRK itu meningkat berbanding pencapaian ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
"Undi orang Melayu meningkat kepada 42.7 peratus, berbanding sebelumnya iaitu 39 peratus, undi Cina kali ini meningkat kepada 88.4 peratus, berbanding 85.3 pada 2023, manakala undi India turut meningkat 10.2 peratus iaitu 70.2 peratus berbanding 60 peratus pada PRN lalu.
"Bagi undi campuran (Orang Asli) juga meningkat kepada 63.1 peratus berbanding 60.1 peratus pada PRN 2023," katanya di X semalam.
Laporan media semalam memetik Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PRK itu turut menyaksikan enam daripada lapan pusat daerah mengundi yang majoriti pengundi Melayu berjaya dimenangi oleh PH, hasil dukungan jentera UMNO.
Kata beliau, kemenangan ini membuktikan bahawa pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.
Kelmarin, calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao, memenangi PRK Kuala Kubu Bharu dengan 3,860 majoriti undi selepas meraih 14,000 undi.
Beliau menewaskan tiga calon lain terdiri daripada wakil Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan hanya 152 undi, manakala calon BEBAS, Nyau Ke Xin (188 undi).
Comentarios