top of page

PRK KKB: Tiada aduan salah guna jentera kerajaan - SPR



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan sogokan kepada pengundi atau salah guna aset dan jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) sejak 27 Mei lalu.


Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hanya satu laporan diterima membabitkan kes mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika berkempen.


"Laporan (pamer gambar Agong) itu pun dah selesai, jadi kita harap dalam saki-baki hari berkempen ini, teruskan momentum baik ini (dan) berkempen dengan berhemah dan hormat menghormati satu sama lain," katanya dipetik selepas meninjau perjalanan proses pengundian awal di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, Hulu Selangor hari ini.


Semalam seorang lelaki dipenjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen PRK berkenaan.


Terdahulu Abdul Ghani mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam mendakwa kerajaan menyalahgunakan aset untuk berkempen pada PRK KKB dan Perikatan Nasional (PN) akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya, sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRK itu.


Abdul Ghani berkata petisyen hanya boleh difailkan oleh mana-mana pihak dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRK diwartakan.


Dalam pada itu, SPR dalam kenyataan di media sosial berkata peratusan pengundian awal bagi PRK Kuala Kubu Baharu mencatatkan sebanyak 96 peratus setakat 3 petang ini.


Proses pengundian bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu melibatkan dua pusat mengundi awal iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia dan Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine yang dibuka serentak 8 pagi tadi dan tamat pada 5 petang ini.


Proses pengundian awal yang melibatkan seramai 625 anggota polis serta 238 anggota tentera dan pasangan berlangsung dalam keadaan cuaca baik.


SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi lebih 75 peratus pada hari pengundian, Sabtu ini.


PRK yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.


DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page