Oleh: Abdullah Zaid
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan strategi Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu sebagai tidak mencerminkan 'perpaduan' kaum dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB).
Katanya, wakil Melayu daripada blok pembangkang sudah pun memegang dua daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Hulu Selangor, iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri Ogos 2023 lalu.
Oleh itu, katanya adalah tidak munasabah pihak pembangkang terus meletakkan calon Melayu biarpun komposisi kaum di DUN berkenaan merupakan kerusi campuran.
"Mereka (PN) tidak adil kerana sudah ada tiga wakil mereka dari kalangan Melayu, walhal komposisi di DUN KKB Melayu dan orang asal 51%, Cina dan India serta lain-lain adalah 49%. Mengapa mereka tidak menganggap kaum lain sebagai calon Kuala Kubu Baharu?”
"Dalam Islam kita tidak berbuat demikian, paling tidak berilah peluang seorang calon bukan Melayu dalam PRK ini," katanya ketika ditemui.
Oleh itu, beliau menyeru pengundi di DUN berkenaan memberi peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao untuk terus mengekalkan kemenangan di kerusi tradisi Pakatan Harapan itu.
"Berilah peluang kepada calon kita untuk menang dalam PRK ini, Kerajaan Negeri dan pusat adalah perpaduan jadi biarlah ia selari," ujarnya.
Selain itu, ketika ditanya mengenai persepsi ramai bahawa wakil DAP berkenaan sebagai calon luar, Ahmad Maslan berkata, faktor usia dan pengalaman politik beliau perlu dilihat memberi kelebihan besar buatnya untuk memenangi PRK kali ini.
"Beliau masih muda dan kuat. Saya yakin beliau ada pengalaman politik yang baik dan itu dapat dimanfaat kepada pengundi KKB.
"Selain itu, sekiranya beliau menang dalam PRK ini maka beliau perlu aktif berada di sini supaya isu ‘orang luar’ tidak menjadi isu," ujarnya lagi.
Calon Kerajaan Perpaduan dari DAP, Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Comments