top of page

PRK KKB: PN kata kerajaan gagal, apa yang gagal? - Yaakob Sapari



Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) amat mengelirukan dan tidak mempunyai logik.


Hal itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya KEADILAN Negeri (JPRN) Selangor, Datuk Dr Yaakob Sapari dalam sidang media di KKB petang tadi.


Menurut beliau, ungkapan 'kerajaan gagal' yang ditujukan oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin juga laskar siber mereka terhadap prestasi Kerajaan Madani terlalu kabur, malah tidak boleh dibuktikan.


"Dia sebut kerajaan gagal. Apa gagalnya? Saya dapati sokongan masyarakat Melayu terus meningkat. Dulu kita (di KKB) dapat sekitar 33% sokongan.


"Terakhir (pilihan raya negeri) kami dapat sokongan Melayu 42%. Kita berkerja keras sekurang kurangnya dapat seri (menentang PN) di kawasan Melayu.


"Kita buktikan bahawa sepanjang kerajaan Datuk Seri Anwar banyak program kebajikan telah dilaksanakan, umpamanya tidak pernah dalam sejarah kakitangan awam dapat insentif RM2,000. Nak raya baru ini dapat tambah insentif RM500. Apa yang gagal?


"Kalau lihat pelaburan ... meningkat. Mereka (PN) tidak serang (kerajaan) Selangor kerana pelaburan Selangor jauh lebih baik dan Selangor menyumbang 1/4 kepada KDNK negara. Selangor tempat mencari rezeki rakyat seluruh Malaysia," katanya.


Yaakob juga membidas ucapan Pengerusi PN kononnya harga barang keperluan melambung tinggi dan menyukarkan perbelanjaan harian penduduk KKB.


Hal itu, katanya, tidak berdasar kerana harga barang jauh lebih mahal pada era pentadbiran Muhyiddin.


"Saya ikuti ucapan (Pengerusi PN), terutama soal kenaikan harga barang yang melambung.


"Saya rasa presiden Bersatu macam meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Realitinya pada hari ini barang di pasaran jauh lebih murah berbanding zaman dia jadi PM," katanya.


Manakala menjawab soalan wartawan mengenai kapasiti jentera KEADILAN yang akan diturunkan dalam PRK, Yaakob berharap jumlahnya melepasi 1,000 orang bagi membantu di kawasan kawasan yang KEADILAN ditugaskan sebagai perayu undi.


"Saya mengharapkan 1,000 jentera dari negeri Selangor turun mulai semalam sehingga 11 Mei untuk bertemu pengundi. Kita minta semua lantikan politik seperti Ahli Majlis, ketua kampung, PWB, PBS untuk turun membantu kemenangan calon kita," katanya.


Selain itu, beliau berpuas hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh pemimpin BN biar pun MCA masih enggan terlibat membantu kempen.


Katanya, pemimpin UMNO dan MIC amat positif dalam gerak kerja PRK dengan menghadiri setiap mesyuarat.


"Saya amat bangga kali ini wakil Perpaduan tergambar dalam kerja kerja pilihanraya, sama ada PH, KEADILAN, AMANAH dan DAP, mahu pun BN, UMNO dan MIC, mereka beri komitmen datang mesyuarat.


"Inilah kali pertama hubungan rapat PH dan BN melakukan kerja kerja pilihanraya di DUN KKB," katanya.


Yaakob berpesan kepada pengundi di KKB bahawa hanya calon kerajaan sahaja yang mampu meneruskan kerja kerja baik yang dilakukan mendiang Lee sebelum ini.


Pembangkang katanya, tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan KKB sebagaimana yang pernah dilakukan oleh PH selama 3 penggal.


"PRK ini tidak mengubah Kerajaan Negeri atau pimpinan kerajaan pusat maka adalah penting bagi pengundi di sini dapat meneruskan kerja kerja kebajikan rakyat seperti sebelum ini


"Tidak mungkin ADUN pembangkang mampu meneruskan kerja kerja kebajikan dan pembangunan di kawasan ini," katanya lagi.


KEADILAN dalam PRK KKB ini diberi tanggungjawab berkempen di Bandar Utama Batang Kali, Ampang Pechah, Pertak, Ladang Nigel Gardner, Lembah Beringin dan Batu 30 Hulu Yam.


Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Pengarah JPRN Selangor Azmizam Zaman Huri, Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rozana Zainal Abidin, Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Mazli Saring dan beberapa pemimpin tempatan KEADILAN.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page