Suasana pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) sehingga tengah hari ini berjalan baik namun tidak begitu rancak.
Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya setakat pukul 12.00 tengah hari ini hanya 32.51% daripada pengundi berdaftar yang telah keluar menunaikan tanggungjawab.
Tinjauan Suara Keadilan di pusat mengundi pekan KKB pula mendapati tidak banyak pengundi yang beratur sebagaimana suasana pilihanraya yang biasa.
Begitu juga di kawasan pinggir KKB, di Ulu Yam Lama.
Di pusat mengundi Sekolah Rendah (SJKC) Choong Chee, Ulu Yam Lama beberapa pengundi warga emas ditemui mengundi pada sebelah pagi kerana bimbang cuaca tidak menentu pada sebelah petang.
Salah seorang yang mahu dikenali sebagai En Teh berkata, beliau tidak mengambil masa lama untuk membuang undi.
Bagi En Teh, PRK tersebut tidak tertumpu kepada calon tetapi untuk memastikan kerajaan yang stabil kekal memerintah.
"Kita tak harap banyak kepada calon. Yang paling penting kita mahu kerajaan yang stabil. Tidak kucar kacir. Itu yang kita harapkan.
"Sebab calon pun perlu dengar arahan dari parti. Sesiapa yang dalam pari itu, kalau saya yakin, saya akan undi parti itu.
"Kerajaan yang penting," katanya.
Ditanya apakah harapan beliau kepada manifesto calon calon yang bertanding, En Teh tidak mengharapkan banyak perubahan kerana kawasan tersebut merupakan kampung kecil dan tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan.
"Saya tak harap sangat untuk kampung ini kerana kampung kecil, penduduk tak ramai.
"Cari makan semua (generasi muda) pergi jauh. Sebab dari sini pergi Kuala Lumpur dekat sahaja. Penduduk semua keluar. Yang tinggal rumah kosong. Hujung minggu sahaja (ramai).
"Orang tua yang banyak," katanya lagi.
Comments