Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) telah sebulan berlalu namun kejayaan jentera pilihanraya Pakatan Harapan (PH) yang berkempen di sana mencipta kenangan manis tersendiri.
Menurut salah seorang koordinator jentera PH yang bertugas di Lembah Beringin, Saiful Annuar Sulaiman - salah satu Daerah Mengundi (DM) yang banyak pengundi Melayu - PRK itu amat istimewa kerana penglibatan banyak tenaga otai reformasi yang hadir membantu kempen.
Katanya, petugas otai reformis biar pun telah berusia dia atas umur 60an datang dari beberapa kawasan yang jauh sekitar 50 kilometer semata mata mahu memastikan calon DAP, Pang Sock Tao menang dan membuktikan tohmahan pembangkang bahawa reformis kecewa dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak benar.
"Kebanyakan petugas terdiri daripada reformis yang datang dari beberapa cabang di Selangor dan digerakkan bagi membantu PIC (person in charge) di DM Lembah Beringin, iaitu Puvanesvaran Patchimuthu, seorang ahli majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
"Agak teruja kumpulan reformis ini yang datang secara berkala untuk membantu bilik gerakan sehinggakan ada masanya mencecah lebih 100 orang.
"Pelbagai program yang menyantuni golongan wanita, belia dan pengundi berjaya dianjurkan bagi menyebarkan maklumat berfakta kepada pengundi," katanya.
Menurut Saiful lagi, selepas kejayaan menang di DM majoriti Melayu itu, jasa otai reformis diiktiraf dari pihak cabang KEADILAN Hulu Selangor.
Katanya, baru baru ini majlis apresiasi dari Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Prakash Sathia dan Timbalan Ketua Cabang, Saifuddin Shafi Abdullah yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dianjurkan untuk meraikan para petugas otai reformasi. Majlis itu telah diadakan di Hulu Rening, Hulu Selangor.
Dalam PRK 11 Mei lalu PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu selepas calon DAP Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).
Comments