Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN PRK KKB: Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) telah pun selesai semalam dan kini adalah masa untuk semua calon bekerja serta menggerakkan jentera masing-masing bagi memastikan kemenangan berjaya digenggam.
Calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Toa daripada DAP akan ditentang oleh tiga pencabar.
Mereka ialah pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, Hafizah Zainuddin daripada PRM (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Xe Kin, seorang calon Bebas.
Berbekalkan majoriti kemenangan pada PRN lalu, mendiang Lee Kee Hiong berjaya memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4119 undi, selain DAP telah mencengkam kawasan tersebut sejak 2013, Pang dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kemenangan, meski dicabar oleh tiga lawan.
Peluang Pang lebih cerah
Walaupun diasak oleh tiga calon lawan dalam PRK DUN KKB namun peluang calon yang mewakil Kerajaan Perpaduan diyakini lebih cerah dalam kalangan pengundi di DUN tersebut.
Sebagai calon wanita yang masih muda dan banyak tenaga, Pang diyakini mampu memberi khidmat lebih baik sebagai wakil rakyat kepada pengundi.
Tambahan lagi, pengalamannya bekerja sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini turut merupakan suatu kelebihan kepadanya.
Sosok biasa bercampur masyarakat
Ertinya Pang adalah sosok yang sudah biasa bercampur dengan masyarakat dan atas tugasnya dalam Kerajaan Perpaduan selama ini.
Seiring bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan, pengalaman Pang menjadikannya ada kelebihan berbanding tiga pencabarnya yang lain.
Paling penting, Pang bertanding untuk mengukuhkan lagi Kerajaan Negeri Selangor daripada sebarang ancaman dan gangu gugat pihak lawan.
Kemenangan beliau pada 11 Mei depan akan memadamkan impian pihak lawan daripada terus 'berkokok' dan memasang impian menawan Selangor.
Lantaran itu, memenangkan Pang adalah kewajipan bagi semua parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments