Oleh: Abdullah Zaid
Tumpuan kini terarah di kerusi Dewan Undangan Negeri N.43 (DUN) Nenggiri yang akan membuka tirai selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.
Proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang dan dijangka bermula pada 9 pagi ini.
Setiap calon diberi tempoh satu jam untuk menyerahkan borang pencalonan, mereka yang layak bertanding akan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon mereka.
Pilihanraya berkenaan diadakan selepas kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari mengundi manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan.
Ia berikutan selepas semua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan untuk mereka bertugas sepanjang tempoh kempen PRK.
Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Setakat ini, PRK Nenggiri adalah siri PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
Comments