PRK Ayer Kuning: Jika PN menang, ladang khinzir tidak akan ditutup?
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perikatan Nasional (PN) hanya melaungkan perubahan di atas pentas, namun di atas kertas gabungan pembangkang itu mahu mengekalkan status quo mereka, demikian kata Salman Saleh.
Setiausaha AMANAH Perak itu berkata, pihaknya telah meneliti kandungan dokumen manifesto 'TEKAD Muhaimin Untuk Rakyat' yang dikeluarkan calon PN PRK Ayer Kuning, khususnya berkaitan isu ladang khinzir di Tanjung Keramat yang jadikan modal utama sepanjang kempen.
Menurut beliau, dalam dokumen tersebut PN menyatakan bahawa mereka akan bertindak terhadap ladang khinzir haram dan yang gagal mematuhi lesen.
''Namun, umum mengetahui bahawa ladang di Tanjung Keramat adalah ladang yang memiliki lesen sah dan tertakluk di bawah pemantauan Jabatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan.
''Ini bermakna, berdasarkan kenyataan bertulis mereka sendiri, ladang tersebut tidak akan dihapuskan sekiranya PN menang.

''Maka jelaslah bahawa kempen yang selama ini membakar sentimen rakyat hanyalah satu permainan emosi politik sedangkan dari sudut dasar, mereka tidak membawa sebarang penyelesaian baru,'' bidas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih ketara lagi katanya, tawaran mereka tidak mengandungi satu pun idea segar atau pelan alternatif.
''Apa yang dicadangkan hanyalah ulang tayang dasar kerajaan sedia ada yang sedang dilaksanakan sejak dahulu termasuklah penguatkuasaan lesen dan pemantauan pencemaran.
''Oleh itu, AMANAH Perak menyeru pengundi Ayer Kuning agar tidak terpedaya dengan naratif kempen yang tidak konsisten.
''Rakyat berhak tahu perkara sebenar, jika PN menang, ladang khinzir Tanjung Keramat akan kekal seperti sedia ada kerana itu yang mereka sendiri tulis,'' kata beliau yang juga merupakan Pengarah Operasi Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Ayer Kuning.
Comments