Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyifatkan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu lalu menunjukkan dasar Kerajaan Madani berada di landasan yang tepat.
Timbalan Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, pencapaian luar jangka itu bukanlah kebetulan memandangkan momentun dalaman ekonomi negara termasuk Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) suku pertama, kadar inflasi dan pengangguran telah menunjukkan pencapaian yang baik.
"Pencapaian ini berlainan dengan jangkaan awal Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjangkakan ringgit mengukuh sekitar RM4.5 berbanding dolar AS menjelang Disember ini, namun peningkatan ringgit berlaku lebih awal.
"Pengukuhan nilai ringgit ini sekali gus memberi manfaat besar kepada import negara dalam menampung perbelanjaan terutama produk makanan yang ketika ini ditanggung kerajaan sebanyak RM80 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, sayap pemuda KEADILAN itu mengingatkan agar pihak pembangkang tidak memutar belitkan prestasi positif 'formula' ekonomi Kerajaan Madani berkenaan.
"AMK menyeru agar pembangkang menutup segala cakap-cakap yang kononnya ekonomi Malaysia bermasalah, sedangkan realiti sebenar ekonomi negara menunjukkan sebaliknya.
"Adalah lebih baik komponen pembangkang, terdiri daripada Pas dan Bersatu berperanan memberi hujah bernas di Dewan Rakyat yang jelas boleh membawa kebaikan kepada semua pihak (berbanding kritikan melulu)," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang disindir sebagai 'Raja Formula' oleh pembangkang semalam berkata pencapaian ringgit amat unik kerana merupakan satu-satunya mata wang di Asia yang mengukuh berbanding dolar AS.
Malah, kata beliau, prestasi ringgit kini mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound United Kingdom, renminbi China dan euro Kesatuan Eropah.
Comments