Prestasi KDNK T'ganu tercorot, MB Samsuri gagal tadbir negeri
- Suara Keadilan
- Nov 28, 2024
- 2 min read

Pas-PN sejak Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada Januari 2024 membangga banggakan bahawa Menteri Besar (MB) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan pemimpin yang boleh dinobatkan sebagai Perdana Menteri (PM) ke 11 menggantikan PM Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, Pas pula sering merendah rendahkan usaha cemerlang PM Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik pelaburan asing ke negara ini.
Namun terbukti selepas lebih 7 tahun Dr Samsuri sebagai MB Terengganu, prestasi ekonomi negeri yang mendapat wang ihsan sekitar RM1 bilion setahun itu dalam statistik prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia berada dalam kedudukan tercorot ekonominya berbanding negeri jiran.

Bagi Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, prestasi ekonomi Terengganu yang ketinggalan biar pun mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan menunjukkan Pas terlebih membesar besarkan (overrated) Dr Samsuri. Sedangkan hakikatnya beliau tidak mahir mentadbir negeri atau menarik pelaburan asing, apatah lagi mahu membandingkan prestasinya dengan PM Anwar Ibrahim.
"KDNK Terengganu merosot membuktikan Dr Samsuri tidak ada kompetensi. Pas hanya pandai overrated pemimpin yang mereka ada sedangkan kompetensi itu tidak ada kepada pemimpin yang mereka banggakan.
"Sikap overrated Pas ini memakan diri serta menyebabkan rakyat Terengganu rugi," katanya dalam satu kenyataan.
Sikap Pas tersebut, tambah mantan Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman itu, menunjukkan parti berkenaan tidak bijak menilai bakat dalam kalangan jemaahnya.
Lebih buruk, kata beliau, semua pujian itu dibalut dengan hujah agama sehingga memperlihatkan pemimpin yang dibanggakan itu sebagai kurniaan kepada negeri Terengganu.
"Pas sebenarnya tidak tahu pun bagaimana untuk menilai kepimpinan seseorang pemimpin untuk diangkat. Hanya penuh retorik dan hanya menggunakan agama sebagai alat politik," katanya.
Selain itu, Ahmad Nadhir juga mempersoalkan kemajuan kepada rakyat Terengganu sepanjang dua penggal pemerintahan.
Katanya, keadaan sosio ekonomi rakyat masih ditakuk lama. Sedangkan pemimpin Pas pula asyik berceramah untuk mengekalkan sokongan manakala anak muda masih terpaksa merantau ke negeri di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bekerja.
Katanya, politik Pas amat jauh daripada menjaga kesejahteraan rakyat tetapi lebih mengutamakan nafsu berkuasa semata mata.
Dalam laporan terbaharu Jabatan Statistik Negara mendapati prestasi pertumbuhan ekonomi Terengganu dari 2017 - 2023 paling corot berbanding jirannya Kelantan dan Pahang.
Terengganu mencatat pertumbuhan hanya 9.9% berbanding Kelantan 29.3% dan Pahang 33.8% dalam tempoh 6 tahun.
Comments