Prasekolah KEMAS di Perak bakal naik taraf, modul ibadah diperkukuh
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited memperkasa sektor pendidikan negara termasuk membabitkan institusi prasekolah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi berkenaan berjaya melahirkan modal insan cemerlang dalam kalangan masyarakat luar bandar yang mampu memberikan sumbangan kepada negara.
Justeru, kerajaan jelasnya akan menaik taraf semua Tabika dan Taska dibawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Perak, termasuk memperkukuh modul ibadah dan penghafalan surah lazim al-Quran dalam kalangan kanak-kanak.
"Jika sesebuah keluarga itu mahu berjaya, tumpuan mestilah diberikan kepada bidang pendidikan.
"Ramai juga anak-anak Orang Asli yang berjaya masuk ke MRSM, dan antara mereka yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran ialah anak-anak Orang Asli," katanya dipetik.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan pada majlis 'Parenting Skill KEMAS' di Kompleks Sukan Tapah pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sebagai rekod, Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man pada Januari lalu memaklumkan bahawa pihaknya menjalankan kajian menyeluruh berhubung keperluan menaik taraf dan baik pulih Tabika di bawah jabatan itu di seluruh negara.
Usaha itu jelasnya bukan sahaja untuk mewujudkan kemudahan fizikal yang kondusif tetapi memastikan mendapat anak-anak di luar bandar mendapat peluang pendidikan yang sama dengan anak-anak di kawasan bandar.
Comments