Menjelang dua tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, pelbagai pengiktirafan telahpun diterima Malaysia sama ada berhubung pelaburan ekonomi atau kerjasama di peringkat antarabangsa.
Hal itu ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Temu Anwar di Majlis Perasmian Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI) yang diadakan di tapak parkir Gravitas, Jalan Baru Prai, Pulau Pinang, petang ini.
Dalam dialog itu, Anwar memberi contoh permohonan Malaysia menyertai kerjasama antara kerajaan BRICS sebagai sesuatu yang amat mengkagumkan kerana dipersetujui sebulat suara dalam kalangan negara pengasas kerjasama berkenaan.
"Baru baru ini bila kita mohon menyertai BRICS, Malaysia daripada 30 negara, paling mudah diterima.
"PM Ethiopia beritahu saya dalam mesyuarat, dalam lapan negara awal BRICS, pengerusinya Vladimir Putin, Rusia. Dia kata ini 30 permohonan, kita mula dengan Malaysia. Kita cadangkan Malaysia diterima ....
"Habis dia bercakap (Presiden China) Xi Jinping cakap China sokong kerana Malaysia punya potensi, dan dia berkawan dengan semua. (Perdana Menteri) India Narendra Modi kata, dia beri sokongan....
"Sebulat suara (semua negara pengasas) beri sokongan kepada Malaysia. Ini kerana kita stabil. PH, BN, GPS, GRS menyebabkan kita punyai 2/3 majoriti.
"Selain itu dasar kita jelas. Orang tanya apa pelan perindustrian baru, kita ada. Apa pelan digital, kita ada. Apa pelan semi konduktor, kita ada. Transisi tenaga, ya. Transisi digital, ya.
"Jadi kita prepare ini semua, ini pelan kita (negara luar yakin)," katanya menjawab pertanyaan salah seorang anak muda yang menjadi peserta dialog tesebut.
Kata Anwar, tidak cukup dengan dasar yang jelas, beliau juga telah memberi penekanan berhubung tata kelola pentadbiran.
Menurutnya, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani budaya seleweng atau saku dana kerajaan tidak akan dibenarkan. Dana perlu disalurkan kepada rakyat untuk manfaat bersama.
Tambah beliau, sekiranya semua itu kekal diterima semua komponen maka gabungan Kerajaan Perpaduan akan diteruskan mentadbir negara ini.
"Negara ini telah dirosakkan kerana tamak haloba, sakau wang rakyat.
"Baja sakau, kontrak tebatan banjir sakau, kontrak tentera sakau. Jadi saya hentikan.
"Saya kata kalau mana mana menteri atau kementerian melainkan isu keselamatan negara terlalu serius, yang lain semua tender (terbuka) ikut proses, kemudian kita luluskan.
"Kalau ini dipersetujui, muafakat dalam Jemaah Menteri, saya fikir wajar kita cari jalan teruskan kerjasama PH-BN di Semenanjung," katanya lagi.
Comments