Polis sedang menyiasat dan meneliti beberapa insiden melibatkan keselamatan institusi penting negara dan Ahli Parlimen sejak beberapa hari lalu, sama ada ia merupakan tindakan rambang atau rancangan terkoordinasi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis dan kementeriannya memandang serius isu berkenaan dan memantau rapi keadaan keselamatan di semua peringkat bagi mengelak sebarang insiden lain.
"Adalah penting dalam siasatan polis untuk tentukan (insiden) adalah tindakan rambang atau sebahagian rancangan terkoordinasi, sama ada dilakukan individu atau kumpulan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu di Putrajaya, hari ini.
Jumaat lepas dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, terkorban manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang penceroboh di Balai Polis Ulu Tiram di Johor.
Pada hari sama, dua lelaki berumur 29 dan 37 tahun yang menaiki kereta Perodua Kembara ditahan di Pintu 3 Istana Negara kerana cuba menceroboh, dengan alasan untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.
Semalam pula polis mengesahkan menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan yang diterimanya pada hari Sabtu lepas.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya telah diarah untuk memberikan maklumat perkembangan terkini siasatan polis terhadap beberapa insiden yang berlaku itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional dan telus.
"Siasatan polis akan kenal pasti pihak mana terlibat… biar mereka kendali siasatan dengan profesional, dan dedikasi diperlukan.
"(Insiden) itu kita pandang serius dan siasatan menjurus kepada menentukan plot, tujuan, motif kumpulan atau individu; atau ini kes dia buat keputusan sendiri atau terancang… biar kita pastikan perkara itu," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan pendapat tidak berasas melalui media sosial mengenai insiden berkenaan.
"Kita pantau pendapat tidak berasas kerana ia berlaku bagi sesetengah media. (Tindakan) menimbulkan kemarahan dan perpecahan hanya akan menghalang, mengganggu proses siasatan, dan boleh membawa kepada kekacauan yang tidak perlu," katanya lagi.
Comments