Insiden yang menimpa pengguna jalan raya mengakibatkan kematian dan kecederaan akibat pokok tumbang di Kuala Lumpur baru baru ini mungkin dapat dielakkan sekiranya pemeriksaan ke atas pokok berusia kerap dilakukan dan menggunakan khidmat pakar.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, bukan sahaja Kuala Lumpur perlu melakukan pemeriksaan pokok yang kerap tetapi kerajaan Selangor juga perlu melakukannya terutama di bandar satelit seperti Petaling Jaya yang mempunyai banyak pohon ditanam sekitar dekad 1980an atau lebih awal daripada itu.
Katanya, susulan kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, langkah-langkah proaktif telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk pemeriksaan terhadap pokok yang berusia lebih daripada 30 tahun atau mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter sejak 2019.
"Jadi sudah tiba masa untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor untuk mengumum langkah yang bakal diambil bagi mencegah kemalangan pokok tumbang.
"Sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, saya menyeru MBPJ melantik arboris bersijil untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh, terutamanya terhadap pokok yang berusia atau berisiko tinggi yang mungkin mengalami kegagalan struktur dan tumbang, khususnya di kawasan-kawasan berpenduduk padat dan di sepanjang jalan utama dalam kadar segera," kata Chean Chung dalam kenyataan.
Tegas beliau, kejadian di Jalan Sultan Ismail turut memberi satu peringatan untuk difikirkan. Katanya, disebabkan oleh jaringan akar pokok di kawasan tersebut saling berhubungan maka ianya secara langsung mempengaruhi kekuatan struktur pohon.
Oleh itu, katanya, pemeriksaan perlu dilakukan terhadap kecacatan sesuatu pohon, lebih lebih lagi sekiranya pokok berhampiran telah tumbang.
"Pemeriksaan berkala yang dijalankan oleh arboris bertauliah (akan) dapat mengenal pasti kecacatan pada pokok seperti kerosakan atau reputasi pada dahan atau akar, struktur pokok yang condong atau tidak seimbang, dan rekahan pada dahan dan pangkal pokok.
"Saya ingin menekankan tindakan segera oleh semua pihak adalah keutamaan bagi mengelakkan berulangnya tragedi serupa.
"Keselamatan awam harus menjadi keutamaan utama kita semua dan bersama-sama kita mampu membuat perubahan yang signifikan," katanya yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia.
Pada kejadian 7 Mei lalu, pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail menyebabkan seorang mangsa terbunuh, manakala dua lagi cedera ketika hujan lebat di kawasan itu.
Pohon yang tumbang itu telah dikenal pasti berusia lebih 50 tahun.
Comentários