PN, PSM lemas di Ayer Kuning, Dr Yusri menang bergaya
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
Ulasan berita - PRK DUN N.48 Ayer Kuning: Sebagaimana diramal sejak awal, calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Madani iaitu Dr. Ustaz Yusri Bakir berjaya mempertahankan kerusi Dun Ayer Kuning dalam PRK yang diadakan semalam.
Jika pada PRU15 lepas, BN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, kali ini majoriti kemenangan meningkat kepada 5006 undi.
Dr Ustaz Yusri Bakir meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia atau PSM, Bawani KS (1,106 undi).
Kemenangan bergaya Dr. Ustaz Yusri Bakri dengan sendirinya telah melumpuh serta melemaskan pengaruh PN dan PSM di Ayer Kuning yang sekali gus membuktikan Kerajaan Madani yang diterajui oleh PMX semakin disayangi rakyat.
Fitnah pembangkang tidak berjaya pengaruhi pengundi
Penulis yang turut berkampung di Ayer Kuning menyaksikan kempen kedua-dua parti lawan sentiasa suram serta tidak mendapat sambutan.
Walaupun pelbagai fitnah berlegar dan cubaan menghasut pengundi langsung tidak memberi kesan kepada mereka. Sebaliknya mereka menyayangi Kerajaan Madani dengan mengundi Dr Ustaz Yusri dengan kemenangan majoriti bergaya.
Menyorot kembali pada PRU15 lepas, undi calon BN ialah 9,088 undi dan dalam PRK ini jelas undi yang diperolehi BN menunjukkan peningkatan kepada 11,065 undi.
Di sebalik peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 58.07 peratus berbanding 74.85 peratus pada PRU15 lepas, tetapi BN masih berjaya mempertahankan kemenangannya.

Tidak diragui lagi pencapaian itu adalah disebabkan kerjasama yang terjalin antara PH dan BN melalui Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh jentera parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah penyumbang kepada kejayaan tersebut.
Pengundi juga memberi isyarat terus meyakini Kerajaan Madani melalui kemenangan ini dan ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut di mana sebelum ini kejayaan telah diperolehi dalam PRK di Nenggiri
dan Mahkota.
Mesej keyakinan rakyat kepada PM
Tidak kurang pentingnya ialah kemenangan di Ayer Kuning juga adalah mesej keyakinan dan kepercayaan rakyat yang berterusan terhadap kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri.

Di sebalik pelbagai isu cuba dimainkan oleh PN yang cuba melekehkan Perdana Menteri, pengundi Ayer Kuning ternampak tidak goyah pendirian dalam kebersamaan mereka terhadap kerajaan perpaduan.
Isu tempatan seperti isu ladang babi yang dimainkan oleh PN turut tidak mendapat tempat di hati pengundi Ayer Kuning.
Dengan kemenangan di Ayer Kuning ini, tidak disangkal lagi bahawa model kerjasama dan kesepakatan melalui kerajaan perpaduan adalah resepi terbaik untuk mengekalkan kedudukan kerajaan bagi penggal seterusnya.
Ia ibarat kata pepatah - bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Commentaires