PMX, UIAM: Sama berjasa kembangkan keilmuan Islam di Malaysia
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Senator Dr Zulkifli Hasan
ULASAN: Memerhati dari jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bertandang semula ke Taman Ilmu dan Budi Universiti Islam Antarabanagsa Malaysia (UIAM) dalam program MeetAnwar@IIUM.
Alhamdulillah, penuh kesyukuran menyaksikan perkembangan terkini UIAM. UIAM mempunyai keunikannya tersendiri.

Terdapat 4 buah Universiti Islam yang berhubung kait dengan OIC iaitu Islamic University of Technology (IUT), Bangladesh, Islamic University of Uganda (IUIU), Islamic University Niger (IUN) dan International Islamic University Malaysia ( IIUM ).
UIAM merupakan Universiti Islam Antarabangsa paling terkehadapan dengan pelbagai pencapaian dan sumbangan.
Penubuhan UIAM
Penubuhan UIAM secara rasmi pada 10 Mei 1983 bukan sekadar hasil seorang individu tetapi hasil sinergi antara PMX, PKPIM, ABIM dan dukungan masyarakat antarabangsa melalui OIC.
Malah, ramai tokoh tempatan dan luar negara yang terlibat dan mempunyai sumbangan tersendiri dalam merealisasikan gagasan Islamisasi Ilmu ini.

Namun, sesiapapun tidak boleh menafikan sumbangan PMX terhadap UIAM bahkan sebelum penubuhannya, khususnya ketika beliau menjadi Presiden PKPIM, Presiden ABIM dan Menteri Pelajaran. Semua ini berlaku dengan dokumen rasmi, hansard Parlimen dan rekod sejarah yang sah.
Pada 23 September 1970, PMX ketika memegang amanah sebagai Presiden PKPIM telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu, YAB Tun Abdul Razak menggesa untuk menubuhkan UIAM. Akhirnya, secara rasmi UIAM telah ditubuhkan pada 1983.
Sistem kewangan Islam Malaysia
Pada tahun yang sama, Bank Islam Malaysia Berhad iaitu Bank Islam pertama di Malaysia juga ditubuhkan, di mana PMX juga sangat instrumental dengan kewangan Islam di Malaysia, khususnya menerusi penubuhan Koperasi Belia Islam (KBI).

KBI merupakan institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan yang berlandaskan Syariah.
PMX kemudiannya dilantik menjadi Presiden UIAM selama lebih 11 tahun iaitu 1988-1999.
Semoga UIAM terus berkembang
Songkok UIAM dan alunan Selawat Burdah semasa konvokesyen serta acara rasmi di UIAM, pasti akan mengusik jiwa setiap alumninya. Semoga tradisi ini dikekalkan sebaiknya, insya-Allah.
Mendoakan moga UIAM terus cemerlang mendidik umat.
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
Comments