Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat paling kehadapan dalam mencari solusi isu Palestin menerusi perbincangan dan pertemuan wakil-wakil pemimpin dunia.
Menteri Luar, Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tekad yang dibawa oleh pemimpin nombor satu negara itu dilihat sebagai pendekatan kali pertama dilakukan PM Malaysia dalam situasi konflik sebegini.
"Kita tidak hanya sekadar mengencam tetapi mengambil tindakan tegas dalam konteks OIC untuk menyatakan pendirian kita (Malaysia).
"Dalam pada itu, beliau juga mengambil peluang dari satu tempat ke satu tempat lain. Dari Riyadh (Arab Saudi), beliau ke Turki dan ke Cairo (Mesir). Kerana itu adalah negara-negara yang sangat penting peranannya dalam menentukan perjuangan Palestin.
"Saya menyaksikan bagaimana pemimpin (negara luar) melihat Malaysia dapat memainkan peranan sangat dalam ‘connecting the dot’ (penghubung negara luar)," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Zambry tidak menafikan sumbangan yang dilakukan pemimpin negara yang lain dalam memperjuangkan hak kebebasan rakyat Palesin namun mengakui langkah yang dibawa Anwar Ibrahim adalah jauh lebih terkehadapan.
"Setiap Perdana Menteri mempunyai peranan mereka, tapi dalam konteks PM kita (Anwar Ibrahim), beliau mengambil langkah yang lebih jauh untuk bersama-sama dengan kalangan pemimpin Islam di seluruh dunia dan pemimpin negara bukan Islam," katanya.
Selain itu, mengulas isu cubaan pihak luar yang mengugut Perdana Menteri berkenaan isu Palestin, Zambry berkata Malaysia kekal teguh dan tidak gentar dengan sebarang ancaman.
"Saya fikir elok kita tidak namakan siapa mereka. Sepertimana yang ditegaskan Perdana Menteri berkali-kali, kita tak gentar sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka," tegasnya.
Comments