Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Kegigihan PMX yang terus bekerja untuk menarik syarikat-syarikat gergasi dunia melabur ke Malaysia tidak pernah berhenti demi kesejahteraan rakyat.
Selepas lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan perjalanan ke London untuk misi yang sama.
Nama Malaysia mesti terus dijulang di pentas dunia supaya negara ini terus diyakini oleh pelabur dan pemimpin-pemimpin dunia.
Seperti lawatan terdahulu di pelbagai negara, kunjungan PMX atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri merangkap pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum sempena Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) disifatkan beliau amat berjaya untuk melonjakkan ekonomi negara.
Menyusuri lawatan PMX ke UAE, antara pencapaian yang diraih dan juga membanggakan ialah antara lain meningkatkan hubungan dua hala dalam pelagai bidang serta misi memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia - UAE dengan memeterai beberapa kerjasama perdagangan.
Antaranya ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) di mana melalui perjanjian ini, ia mampu meningkatkan eksport negara kepada AS$13.5 bilion menjelang tahun 2032.
Kerjasama inisiatif AI
MoU lain yang dipersetujui ialah kerjasama inisiatif AI atau kecerdasan buatan.
Sempena Abu Dhabi Sustainability Week pula, Malaysia melalui suara Anwar menuntut kebersamaan dalam mempromosi ASEAN sebagai blok yang cemerlang dari segi ekonomi dan budaya demi masa depan serta kemakmuran bersama.
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan syarikat pemegang dana berdaulat UAE iaitu Masdar ADIA dan Mubadala.
Seperti mana yang diketahui umum, ketiga-ketiga syarikat itu terkenal dengan pelaburan berimpak tinggi dalam pelbagai bidang perniagaan di seluruh dunia.
Melalui perbincangan itu, ADIA misalnya menzahirkan komitmen untuk meningkatkan pelaburan dan memainkan peranan penting dalam transformasi MAHB.
Dalam perbincangan dua hala Anwar dengan Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama politik, ekonomi dan pelaburan, pertahanan, tenaga boleh diperbaharui dan nuklear, pelancongan, kemampanan serta kecerdasan buatan.
Di UAE juga Anwar sempat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan dua pemimpin negara asing seperti Presiden Republik Kenya dan Presiden Uganda.
Dengan Kenya, persetujuan yang berjaya dicapai ialah meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan, terutama eksport sawit ke Afrika.
Dengan Uganda pula, kedua-dua negara bersetuju untuk melonjakkan sinergi bersama dalam bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan serta pendidikan.
Semangat gigih PMX untuk terus menjulang nama Malaysia di pentas dunia wajar terus disokong kerana `buah manis’ hasil lawatan tersebut dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments