Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera lebih RM24 juta kepada Sabah dan Sarawak susulan bencana banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.
Pada ucapan di Majlis Kenduri Rakyat di Taman Meru, Ipoh pada Jumaat Anwar berkata, peruntukan itu bagi tujuan membaiki infrastruktur yang terjejas.
"Kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM24 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar, kita luluskan," katanya dipetik.
Turut hadir pada acara itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sementara itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, telah meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan bantuan RM1,000 bagi keluarga mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh.
"Kalau banjir di Perak kita bagi satu keluarga RM1,000. Di Sabah, Sarawak pun saya ada minta NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) segera luluskan dalam kadar segera RM1,000 ringgit bagi setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran (dan) tanah runtuh.
"Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab, jadi kita lakukan," katanya.
Setakat petang Jumaat mangsa terjejas banjir di kedua-dua negeri itu melebihi 15,000 orang dengan 92 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan di tujuh kawasan di Sarawak hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sabah mengalu-alukan peruntukan kira-kira RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas di beberapa daerah di negeri itu.
"Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera ini," katanya dalam kenyataan.