Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah mengucap setinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
"Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Tuanku dan Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
"Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat Johor Darul Ta’zim dengan adil dan saksama.
"Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Allah Peliharakan Sultan," katanya.
Sementara itu, dalam satu wawancara bersama media The Star, Sultan Ibrahim mengakui baginda lebih mudah berurusan dengan Anwar berbanding Perdana Menteri lain sebelum ini.
Baginda bertitah kerap bertukar pandangan bersama Anwar melalui mesyuarat dan panggilan telefon, terutamanya mengenai idea untuk pembangunan Johor.
"Kami berunding antara satu sama lain dan bertukar-tukar idea bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik," Sultan Ibrahim dipetik bertitah.
Selain itu baginda juga memuji agenda Anwar ingin menghapuskan rasuah.
Menurut baginda, reputasi Malaysia sejak kebelakangan ini telah terjejas kerana rasuah. Merujuk kes bekas PM Najib Razak dan skandal SRC International yang menyebabkan ahli politik itu kini dipenjarakan.
Comments