Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di bandar paling timur Persekutuan Rusia, Vladivostok kira-kira jam 6.30 pagi tadi waktu Malaysia.
Anwar dijadual akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Rusia dan membincangkan pelbagai isu, terutama permohonan Malaysia untuk menyertai kerjasama ekonomi BRICS.
"Alhamdulillah, selamat tiba di Vladivostok, Persekutuan Rusia.
"Kunjungan ini pastinya akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia, terutamanya dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Rusia," katanya dalam catatan di Facebook.
Ketibaan Anwar hari ini disambut oleh Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai; Pengarah Bahagian Asia Ke-3, Kementerian Luar Negeri Persekutuan Russia, Ludmilla Vorobieva; Naib Gabenor Wilayah Primorskii, Aleksei Nazdratenko dan Naib Datuk Bandar Daria Stegniy.
Bernama sebelum ini melaporkan antara program utama lawatan itu termasuk pertemuan bilateral dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, selain memberi ucaptama pada sesi pleno di Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9.
Lawatan ini yang pertama dilakukan Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada November 2022.
Turut mengiring PM ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
*Kredit foto: Fath Rizal & Suhairi/PMO
Comments