Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pakistan untuk melakukan lawatan kerja selama dua hari ke negara berkenaan.
Menurut PM, lawatan beliau itu sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-67 tahun Malaysia-Pakistan.
"Alhamdulillah, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Pakistan, Nur Khan malam tadi dalam Lawatan Negara sehingga Jumaat bagi mengukuhkan lagi hubungan 67 tahun Malaysia-Pakistan yang telah terjalin ke tahap lebih baik.
"Usai tiba, saya dan delegasi disambut rakan sejawat Shehbaz Sharif dan peluang itu digunakan bagi menyatakan penghargaan di atas jemputan yang akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik kedua-dua negara selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa hadapan," katanya.
PM berharap lawatan ke Pakistan akan berjalan lancar dan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk turut membincangkan isu-isu serantau serta antarabangsa.
Dalam lawatan kali ini PM dan Perdana Menteri Pakistan akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dua dokumen antara Malaysia dan Pakistan, iaitu memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan, serta Surat Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA).
Majlis itu akan diikuti dengan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan, Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada Bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.
Anwar kemudian bakal menyampaikan syarahan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) dan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada universiti berkenaan.
Dalam lawatan ini PM diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM7.84 bilion (AS$1.4 bilion), menyusut 18 peratus berbanding RM7.89 bilion (AS$1.78 bilion) pada 2022.
Antara barangan yang didagangkan ialah minyak sawit, pakaian, tekstil, produk kimia dan berasaskan kimia, serta produk elektrik dan elektronik.
Pakistan adalah rakan perdagangan ke-35 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-31 terbesar, dan sumber import ke-41 terbesar.
Dalam kalangan negara Asia Selatan, Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.
*Foto kredit: Albarra Azfar/PMO
Comments