
Perdana Menteri (PM) Datuk seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Manama, ibu negara Bahrain bersama delegasi Malaysia untuk melakukan lawatan rasmi di negara berkenaan.
Lawatan beliau adalah atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Di Manama, PM dijadualkan bertemu pemimpin tertinggi Bahrain dan memberi ucapan di acara berprestij, Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC).
"Insya-Allah, awal pagi esok (waktu tempatan) bermula rencana penting antaranya pertemuan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Yang Amat Mulia Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa.
"Saya juga dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin," katanya dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, PM dijadual mengadakan kunjungan ke atas Putera Mahkota Bahrain dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan kedua-dua negara.
Antara tumpuan ialah pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama berkepentingan bersama termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan serta isu serantau dan global.
Anwar juga akan menghadap Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa bagi menzahirkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain.
PM turut akan mengadakan lawatan ke Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain untuk meneroka peluang kerjasama. Beliau juga akan bertemu Imam Besar Al-Azhar, Al-Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayeb, serta bertemudiaspora Malaysia di sana.
Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat tahun lalu, manakala Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara-negara ASEAN dan ke-18 terbesar pada peringkat global pada 2023.
Comments