Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Arab Saudi bersama delegasi Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) selama dua hari.
Ketibaan PM disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan diiringi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, serta Naib Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Waleed A Elkhereiji.
"Insya-Allah bermula hari ini, saya bersama menteri-menteri kanan serta delegasi Malaysia yang lain akan menghadiri persidangan serta mengadakan beberapa pertemuan penting bersama pimpinan dunia dan ketua-ketua korporat global.
"Pertemuan dan persidangan ini antara lain akan menyentuh perkara-perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global pagi ini, di mana saya akan menyampaikan ucapan," kata Anwar di Facebook.
PM dalam pada itu berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan buat delegasi negara dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu serta berkongsi dasar serta hala tuju negara dalam atau di luar persidangan tersebut.
コメント