
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan teguran atas kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Perdana Menteri memberitahu pelaksanaan MyDigital ID terlewat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua tertangguh setelah rundingan bagi projek itu tidak mendapat maklum balas positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
"Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar yang merupakan Menteri Kewangan berkata, beliau menekankan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) semalam.
Beliau berkata kelewatan kedua-dua projek itu menjejaskan kemajuan negara dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
Bagaimanapun, Anwar menyatakan pemohonan maafnya kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana keterlanjurannya bersikap marah ketika mesyuarat tersebut.
"Saya yakin saya terlanjur dalam kemarahan saya, ini menganggu saya. Saya fikir tidak perlu begitu.
"Bukan maknanya padam keterlanjuran dan rasuah, kerja itu yang saya anggap cuai, lambat kerana bagi saya bagaimana digital kita nak bawa kepada AI (kecerdasan buatan), padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara belum kita siapkan," katanya.
Anwar berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu adalah penting dan perlu disegerakan kerana negara akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, yang antara lain berteraskan agenda Grid Tenaga ASEAN, rangkaian digital dan teknologi makanan.
"Jadi, kita harus bangkit sebagai negara yang punya keupayaan dan menjadi contoh. Saya fikir masa dua tahun itu masa yang cukup untuk mempersiapkan semua ini
"Saya juga manusia biasa yang ada kekurangan. Harapan (saya) tinggi dan menggunung. Jadi bila tidak kesampaian, itu yang lahirkan (kemarahan). Saya yakin saya terlanjur dalam kemarahan saya… saya harap boleh terima baik (permohonan) maaf saya ini," katanya.
MyDigital ID merupakan inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
Rangkaian 5G kedua pula merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) sedia ada disediakan oleh DNB.
Pembangunan itu bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu infrastruktur digital yang lebih baik, jangkauan lebih luas, terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan di luar bandar.
Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia mengumumkan syarikat telekomunikasi U Mobile dipilih untuk melaksanakan pembangunan rangkaian 5G kedua.
Comments