Pembangkang digesa tidak mutar belit dan memfitnah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikhlas memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan Palestin.
Bagi Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan, tindakan media dan laskar siber pro pembangkang yang menyunting temubual Anwar bersama CNN baru baru ini sehingga memperlihatkan seolah olah PM mengiktiraf “hak Israel untuk mempertahankan diri” memperlihatkan sikap sebenar pembangkang dan penyokong mereka dalam perjuangan membela Palestin.
Katanya, perbuatan mengelirukan fakta itu hanya mencemar nama baik rakyat Malaysia di mata dunia Islam yang sebelum ini mengkagumi sikap penentangan Kerajaan Madani Malaysia terhadap keganasan Israel dan pembelaan oleh sekutu Barat terhadap negara zionis itu.
"Tuduhan ini (membenarkan Israel mempertahankan diri) adalah palsu dan berniat untuk mengelirukan rakyat. Perdana Menteri dengan jelas menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel, menolak penjajahan, dan menuntut dunia bertindak menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
"Ambil sekerat-sekerat (sunting) ucapan tanpa dengar keseluruhan, itulah kerja mereka, tetapi dunia tahu siapa yang benar-benar bertindak untuk Palestin.
"Anwar Ibrahim dengan jelas menolak penjajahan Israel, menyeru tindakan tegas komuniti antarabangsa, dan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di setiap platform global," kata Ammar dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan itu lagi, tidak wajar pemimpin atau penyokong PN bersikap sebagai 'jaguh pembela Palestin' kerana tiada apa yang mereka lakukan ke arah kemerdekaan negara itu sepanjang 33 bulan memerintah Malaysia.
"Ketika mereka berkuasa, tiada langkah konkrit diambil untuk membantu rakyat Palestin. Manipulasi isu ini hanya menunjukkan hipokrasi mereka yang menggunakan Palestin sebagai alat politik.
"Kerajaan hari ini bukan sekadar bercakap tetapi mengambil tindakan nyata dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Kami menyeru semua pihak, termasuk pembangkang, untuk menghentikan eksploitasi isu Palestin demi kepentingan politik sempit dan bersama menyokong usaha ke arah keadilan dan keamanan sejagat," katanya lagi.
Temu bual Anwar bersama wartawan CNN, Richard Quest baru baru ini telah disunting sedemikian rupa oleh media dan laskar siber pro pembangkang kononnya PM bersetuju hak Israel mempertahankan diri selepas berlakunya serangan oleh sayap bersenjata Palestin, Hamas pada 7 Oktober 2023, yang membawa kepada perang Israel - Palestin seminggu kemudian.
Sedangkan dalam temu bual itu, jelas Anwar mempertahankan Palestin dan mengecam Israel serta sekutu Barat yang membenarkan pembunuhan beramai ramai oleh rejim zionis sejak 13 bulan lalu.
Comments