Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni penduduk yang terkesan bencana banjir di sekitar Tangkak.
Sumbangan diserahkan kepada 50 ketua isi rumah (KIR) yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Penghulu Long melalui Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, M Shanmugam.
Menurut Shanmugam, sumbangan berupa kit makanan dan selimut itu adalah bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu.
"Kita bantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama atau bangsa selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
"Kita akan teruskan usaha begini di semua tempat terkesan banjir dengan kerjasama daripada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya dipetik.
Johor antara negeri yang terjejas banjir baru-baru ini, pada Ahad seramai 436 mangsa dipindahkan ke 13 PPS.
Hadir sama dalam serahan sumbangan itu, Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Ab Rahman Mohamed@Ismail dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Comments