Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan bantuan khas RM500 kepada seramai 202 ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pinang pada minggu lepas.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Bencana Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth hari ini.
Kesemua penerima tersebut merupakan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Utaran dan Seberang Perai Tengah.
"Semua keluarga yang berdaftar dengan PPS juga akan menerima sumbangan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Justeru itu, setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM1,500 keseluruhannya. Jelas, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat prihatin dan terkesan dengan musibah banjir ini," katanya dalam hantaran di Facebook.
Shamsul Iskandar berkata semoga bantuan khas tersebut dapat membantu ringankan beban semua mangsa yang terjejas tambahan pula bagi masyarakat Hindu tentunya amat terkesan di mana perayaan Deepavali bakal menjelang tiba pada bulan depan.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat seperti Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain. Doa doa saya buat mangsa banjir yang terlibat agar tabah dalan menghadapi ujian ini," ujarnya lagi.
Sebanyak 11 PPS dibuka dari 17 hingga 21 September lepas, berikutan kejadian banjir itu yang menempatkan 760 orang daripada 202 keluarga, sebelum kesemua mereka kembali ke kediaman masing-masing pada Sabtu.
Comentários