top of page

PM pertahan keputusan Speaker kekalkan kerusi 6 MP dipecat Bersatu



Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada Bersatu untuk kekal sebagai Ahli Parlimen sekali gus menolak pengisytiharan mengosongkan kerusi-kerusi tersebut.


Perdana Menteri berkata, Tan Sri Johari Abdul bertindak berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang ketika memutuskan kedudukan keenam-enam wakil rakyat tersebut.


"Speaker Dewan Rakyat membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara keseluruhannya dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan Bersatu.


"Bersatu telah menentang supaya keahlian sesiapa (Ahli Parlimen) yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu (Akta Anti Lompat Parti) dilakukan.


"Kita tahu kerana kita semasa itu sebagai pembangkang yang berkeras mahu masukkan bahagian kalau dipecat sekali pun mesti gugur, tetapi mereka menentang. Ini semua ada rekodnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Global MADANI Forum 2024 di Kuala Lumpur hari ini.


Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai penggubalan Akta Anti Lompat parti itu dihadiri oleh wakil kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook.


Ditanya jika keputusan Johari boleh 'memakan diri' jika selepas ini ada Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap kerajaan tanpa perlu bimbang kehilangan kerusi masing-masing, Anwar berkata 'ia adalah berdasarkan undang-undang’.


"Ini bukan ikut soal PM (Perdana Menteri). Ini mengikut Perlembagaan dan tafsiran undang-undang. Itu kita serah kepada Speaker," katanya.


Anwar yang juga Pengerusi PH turut menyifatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai "bercerita separuh" dalam isu berkaitan keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen berkenaan semalam.


"Saya tidak tahu mengapa dia (Muhyiddin) pilih baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Mungkin itu kaedah kerja politik Bersatu. Kempen-kempen sebegitu (dengan) bercerita sebahagian seperti BlackRock dan tinggal sebahagian, itu tidak betul kerana perlu dibaca sepenuhnya," katanya.


Semalam Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari pada lewat petang 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.


Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).


Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee berkata notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen berkenaan telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.


Keenam-enam wakil rakyat itu diberikan notis gugur keahlian parti pada 12 Jun setelah mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk melakukan ikrar taat setia kepada parti.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page