Perdana Menteri (PM) Pakistan, Mian Shehbaz Sharif merakamkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Semenanjung Malaysia dalam panggilan telefon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Menurut Anwar, PM Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat Malaysia di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana banjir sejak beberapa hari lalu.
"Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, PM Shehbaz turut menyatakan hasrat untuk menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat kita yang diuji saat ini.
"Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati PM Shehbaz dan mengalu-alukan sumbangan itu bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan," katanya di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar juga sempat menjemput PM Shehbaz untuk berkunjung ke Malaysia pada awal tahun depan untuk memperkukuh hubungan dua hala.
PM Anwar turut berharap musibah banjir yang menguji kesabaran rakyat Malaysia akan segera berakhir dan kehidupan rakyat kembali kepada sedia kala.
Comments