Oleh: Abdullah Zaid
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) berkaitan pengislaman seorang lelaki oleh Perdana Menteri (PM) baru baru ini.
Setiausahanya, Azizuddin Ahmad (gambar, bawah) berkata niat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda di Masjid India Klang itu tidak sewajarnya dipertikaikan serta dijadikan isu.
"Perkara tersebut disempurnakan dalam suasana harmoni dan penuh kasih sayang di masjid selepas Solat Jumaat dalam satu upacara ringkas yang menjadi kebiasaan di sana.
"Secara umum dimaklumkan bahawa saudara baru keturunan India itu sudah bersedia dan tiada sebarang paksaan terhadap beliau untuk menganut agama Islam sebagai rakyat Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas pertubuhan itu, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana PM sebagai seorang yang beragama Islam telah berperanan sebagai muslim yang bertanggungjawab.
"Adalah keterlaluan sekiranya KLSCAH dan mana mana kumpulan yang cuba memberi gambaran negatif dari soal ketenteraman dan sensitif sedangkan perbuatan itu selari dengan kebebasan beragama menurut Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai Perdana Menteri, beliau amat faham soal penduduk pebagai kaum, agama dan budaya dalam negara ini, sudah pastilah persefahaman dan keharmonian menjadi keutamaan," jelasnya.
Justeru, pertubuhan yang berusia 18 tahun itu yakin bahawa pemimpin nombor satu negara telah memberi contoh yang baik bagi menyemarakkan prinsip kebebasan, persefahaman dan perpaduan dalam membina masyarakat MADANI yang merdeka.
Sebagai rekod, selain WADAH, pengamat politik Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO turut mempertahankan Perdana Menteri yang mengislamkan pemuda 27 itu.
Katanya, menjadi pemimpin negara tidak membuatkan membuatkan Anwar berhenti menjalankan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama Islam.
Comments