Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada November 2022 dan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas itu adalah untuk memenuhi amanat Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian dalam ucapannya pada Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah bertempat di Sabah International Convention Centre hari ini.
Katanya, beliau yang mendampingi Anwar pada waktu beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai PM Malaysia kesepuluh tidak lupa kepada amanat yang dititahkan tersebut.
"Saya berada di Istana Negara mendampingi Datuk Seri Anwar
"Yang pertama, (titah Agong) sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar tolong stabilkan politik. Kedua, tolong uruskan ekonomi, rancakkan kembali, bina kemakmuran ekonomi. Ketiga, jaga kebajikan rakyat.
"Ekonomi dijaga, politik stabil, jangan lupa tanggungjawab jaga kebajikan rakyat. Kos sara hidup, perumahan, kemiskinan, prasarana, semua sekali.
"Kemudian Datuk Seri Anwar terus mengumumkan teras kepimpinan. Mewujudkan kestabilan politik, memakmurkan ekonomi dan meratakan (saksama) kekayaan negara secara adil kepada rakyat.
"Itu boleh dicapai dengan sebuah kerajaan dibentuk dan mengamalkan good governance dan dibingkaikan dengan falsafah Malaysia Madani," katanya.
Oleh itu, beliau meminta rakyat berusaha menyempurnakan tiga amanat berkenaan dengan sebaik baiknya yang akan menguntungkan negara dan juga generasi masa hadapan.
Di samping itu, Saifuddin juga berpesan kepada anggota KEADILAN agar tidak melupakan jasa parti komponen lain yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan kerana Kerajaan Madani tidak akan berdiri sendiri tanpa bantuan mereka.
"Untuk keluarga besar KEADILAN kita ingat Datuk Seri Anwar berada di sini (sebagai PM) bukan sahaja oleh kita tetapi didokong oleh parti sahabat.
"Sebab itu ada adabnya, tertib, disiplin. Tak rugi kita ada sifat tawaduk, rendah diri dan hargai sumbangan orang lain," katanya lagi.
Comentarios