Kunjungan Perdana menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Belgium bermula semalam dan telah bertemu dengan komuniti Islam di sana.
Menurut Anwar, beliau mengunjungi President of the Belgian Muslim Council, Esma Ucan dan pemimpin komuniti muslim bagi bertukar tukar pandangan mengenai kesederhanaan dalam beragama serta membincangkan beberapa isu dunia Islam termasuk penderitaan umat Islam Palestin.
"Ruang yang ada ini saya gunakan untuk bertukar pandangan dan berkongsi peranan dimainkan Malaysia terkait mempromosikan keamanan, keharmonian sejagat, ekstremis dan juga isu serantau termasuk situasi di Gaza," katanya di Facebook.
Sebelum itu, PM juga bertemu diaspora Malaysia di Belgium dan Luxemburg.
Dalam pertemuan itu Anwar mengingatkan betapa pentingnya menghormati dan menjuarai nilai manusiawi dalam membentuk Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih bertamadun.
Katanya, hal itu tidak akan tercapai sekiranya rakyat, khususnya golongan belia masih melayan budaya terlalu selesa tidak mahu berubah malah terpedaya dengan mainan politik murahan sesetengah pihak.
"Justeru, nasihat saya adalah, untuk terus membangun dan berjaya perlunya kebersamaan dari semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia," katanya.
Lawatan PM kali pertama ke Belgium sejak memegang jawatan pada 2022 dijangka bakal membincangkan usaha memulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang telah lama terhenti.
Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) itu dimulakan pada 2010, namun ditangguhkan pada 2012 susulan keraguan Malaysia terhadap dasar perolehan minyak sawit, subsidi dan klausa kemampanan EU.
Selain itu, Perdana Menteri dijangka berbincang isu perdagangan, krisis Timur Tengah dan Rusia-Ukraine, semasa pertemuan dengan pemimpin Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).
Anwar juga dijadualkan bertemu PM sementara Belgium Alexander De Croo untuk berbicara mengenai hubungan dua hala Malaysia-Belgium dan meningkatkan kerjasama tentang isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau kemudian bakal bertemu pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP).
Ia disusuli pertemuan empat mata antara PM dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa untuk membincangkan kaedah mengeratkan hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kali ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kommentare