Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakinkan para pemimpin industri di Korea Selatan dengan mengemukakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dalam Forum Perniagaan Malaysia-Korea 2024 semalam.
Menurut Anwar, beliau juga mengalu alukan kebersamaan lebih 200 peserta dari 147 syarikat Korea dari pelbagai lapangan; semikonduktor, kenderaan elektrik, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI) dalam forum itu.
"Saya telah berkongsi kebijakan Malaysia di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang didukung oleh inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan Pelan Strategik Semikonduktor," katanya di Facebook.
Sebelum itu, PM bertemu dengan beberapa Ketua Pengarah Eksekutif semasa sesi ‘C-Suite Insight Session’
Katanya, platform C-Suite tersebut ternyata memberi ruang kepada Malaysia untuk berbincang terus dengan pemuka-pemuka syarikat terkemuka Korea seperti Samsung, SIMMTECH, Poongsan Corporation, Lotte Energy Materials, Kumho Petrochemical dan lain-lain.
"Syarikat-syarikat tersebut mempersembah rencana mereka untuk Malaysia termasuk pelaburan di sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu, pemprosesan nadir bumi, dan industri halal.
"Komitmen mereka kepada Malaysia sangat mengujakan selain mempamer keyakinan mereka kepada kestabilan Malaysia, selain dasar dan sebagai destinasi pelaburan yang strategik," katanya lagi.
Justeru, PM mengalu-alukan para pelabur dari Republik Korea untuk meneroka pelbagai peluang di Malaysia dan bersama dalam usaha melonjak dan mencapai keuntungan bersama.
Comments