top of page

PM ke majlis pecah tanah Masjid Madani: Tidak abai dialog dengan pihak kuil - Shamsul



Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir pada majlis pecah tanah projek “Masjid Madani” di Jalan Masjid India pada 27 Mac ini tidak mencerminkan kerajaan mengambil keputusan tergesa gesa mengenai nasib Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dipertikaikan dan terletak di tapak sama.


Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menolak kenyataan Lawyers for Liberty (LfL) sebelum ini yang mempersoalkan keputusan PM tersebut sebagai tidak menghormati perundingan sedang berlangsung dan semangat muhibah berbilang kaum di Malaysia.


Kata Shamsul, walaupun kerajaan menghormati hak masyarakat sivil, khususnya LfL untuk mengemukakan kebimbangan, namun beberapa salah tanggapan dan salah faham mengenai isu tapak kuil berkenaan perlu diperjelaskan.


"Pertama, kehadiran Perdana Menteri pada majlis itu (pecah tanah) tidak boleh disalahtafsirkan sebagai menolak perbincangan berterusan antara jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Acara itu (pecah tanah) bersifat istiadat dan mencerminkan komitmen kerajaan yang lebih luas terhadap pembaharuan bandar di bawah rangka kerja pembangunan MADANI, bukan tindakan segera untuk menempatkan semula, atau merobohkan mana-mana struktur.


"Kerajaan juga tiada dasar atau niat untuk mengalihkan rumah ibadat semata-mata mahu menggantikannya dengan yang lain.


"Isu kuil sedang dikendalikan dengan teliti melalui penglibatan berterusan jawatankuasa kuil, penekanan pada penghormatan, dialog dan penyelesaian praktikal. Mengandaikan ini sebagai konflik agama adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan," kata Shamsul dalam kenyataan hari ini.


Jelas beliau, meskipun benar hujah LfL bahawa kuil itu telah dipindahkan ke lokasi terkini pada tahun 2008 lalu dengan pengetahuan DBKL dan diandaikan bahawa kerajaan telah 'mengiktiraf' tapak itu, namun perlu diakui bahawa tiada pewartaan undang-undang pernah dibuat untuk mengatur penggunaan tanah di tapak tersebut.


Tanah tersebut, katanya, kemudian telah dipindahkan kepada pemilikan persendirian, iaitu dijual kepada syarikat Jakel pada tahun 2014 dan mencipta kerumitan undang-undang yang kini mesti ditangani dengan berhati hati.


Bagaimanapun, kata Shamsul, PM telah menjelaskan bahawa beliau tidak menyokong pemusnahan mana-mana rumah ibadat, dan kerajaan tetap terbuka kepada penyelesaian yang membina, termasuk menawarkan lokasi alternatif yang sesuai untuk kuil itu dengan kemungkinan kemudahan yang dinaik taraf.


"Ia juga penting untuk diingat bahawa keputusan perancangan bandar mesti dibuat berdasarkan kebolehlaksanaan undang-undang, alam sekitar dan ruang, bukan hanya sentimen.


"Walaupun cadangan untuk membenarkan kedua-dua masjid dan kuil untuk wujud bersama-sama akan dikaji, keputusan sedemikian memerlukan penilaian teknikal oleh DBKL dan pihak berkuasa yang berkaitan.


"Kerajaan sejujurnya secara konsisten menegakkan kebebasan beragama dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat," katanya.


Menurut Shamsul lagi, visi MADANI Perdana Menteri amat jelas iaitu menekankan nilai saling hormat-menghormati, kewujudan bersama, dan kemajuan inklusif dalam kalangan pelbagai kaum.


Oleh itu, katanya, usaha sesetengah pihak untuk memberi gambaran isu tersebut sebagai tindakan unilateral terhadap mana-mana komuniti amatlah dikesali.


"Saya menggesa semua pihak membenarkan rundingan yang sedang berjalan diteruskan dengan niat baik.


"Kerajaan tetap komited kepada hasil yang menghormati nilai-nilai bersama dan memberikan kepentingan terbaik kepada semua rakyat Malaysia," katanya lagi.


Isu berkenaan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman menjadi panas dalam seminggu kebelakangan apabila beberapa NGO dan parti politik campur tangan.


Sebelum ini pihak pengurusan kuil telahpun bersetuju menerima pampasan perpindahan daripada pihak syarikat Jakel yang telah membeli tanah sekitar dan tapak kuil tersebut sejak 2014 lalu.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page