Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengambil bahagian dalam acara pelancaran "Global Alliance against Hunger and Poverty" yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan kebuluran global.
Acara berkenaan merupakan awalan bagi sidang G20 yang mempamerkan komitmen bersama ke arah meningkatkan tanggungjawab kemanusiaan negara negara industri dalam kumpulan kerjasama ekonomi terbabit.
"Mengambil bahagian dalam acara berkaitan Sidang Kemuncak G20 yakni pelancaran "Global Alliance against Hunger and Poverty” bertujuan membasmi kemiskinan dan kebuluran global.
"Ia selaras dengan tekad kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan tegar," kata Anwar di Facebook.
Manakala semalam PM mengetuai misi pelaburan dan perdagangan Malaysia dalam sesi meja bulat bersama 27 syarikat, termasuk persatuan perniagaan Brazil.
Menurut Anwar, syarikat dan persatuan perniagaan tersebut daripada pelbagai sektor seperti semikonduktor, aeroangkasa, produk petrokimia dan pemprosesan makanan.
"Walaupun Malaysia dikenali sebagai hab semikonduktor dan tenaga boleh baharu serta di antara negara yang merekodkan kepesatan pembangunan dalam industri Pusat Data dan Kecerdasan Buatan (AI), namun masih terdapat potensi untuk ia (industri lain) terus berkembang.
"Kerajaan akan sentiasa bergerak aktif menarik pelaburan berkualiti termasuk memperkasa strategi perdagangan Global South dengan negara seperti Brazil," katanya.
Anwar juga gembira kerana banyak syarikat Brazil menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia mengambilkira dasar yang jelas seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI.
Justeru, katanya, amat penting ekosistem perniagaan di Malaysia terus diperkasa supaya fokus utama dari sudut ekonomi dan pembangunan akan dapat dicapai.
Comments