top of page

PM desak pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan PBB, hapus kuasa veto



Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak pembaharuan ke atas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB) yang perlu menghapuskan kuasa veto, terutamanya apabila membabitkan kes pembunuhan beramai-ramai seperti di Palestin.


Perdana Menteri (PM) berkata struktur ketinggalan zaman dan proses pengambilan keputusan yang lapuk menghalang badan dunia itu dalam melaksanakan mandatnya.


"Sehingga kuasa veto dapat dihapuskan, kita mesti menetapkan peraturan jelas yang mengawal penggunaannya. Kuasa veto harus dilarang dalam kes kekejaman besar-besaran, memerlukan sokongan yang lebih luas daripada anggota tetap dan tidak tetap, serta tertakluk kepada pengesahan Perhimpunan Agung melalui majoriti mudah.


"Inilah cara kita bergerak ke arah sistem yang lebih adil dan bertanggungjawab – satu sistem yang melayani keadilan dan tindakan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Common Action Forum 2024: Kedaulatan dan Saling Memiliki Kemerdekaan Adil: Selatan Global dan Pendemokrasian Kemakmuran" di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar berkata, kuasa veto telah melumpuhkan majlis tersebut manakala kekurangan perwakilan dari rantau seperti Afrika dan Amerika Latin mencerminkan era yang sudah berlalu.


"Daripada menjadi alat tindakan, Majlis Keselamatan terlalu kerap menjadi instrumen kebuntuan. Kita dapat melihat akibatnya di tempat-tempat seperti Gaza, dalam penganiayaan terhadap Rohingya dan dalam perang di Ukraine," ujarnya.


Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mencadangkan pembaharuan terhadap sistem kewangan antarabanga memandangkan kekayaan melimpah-ruah kepada negara kaya sebaliknya negara memerlukan telah ditinggalkan.


"Negara-negara membangun menghadapi akses pasaran yang lebih buruk dan kos pinjaman yang lebih tinggi walaupun mempunyai profil risiko yang serupa. Ketika menghadapi krisis, mereka bergelut untuk mendapatkan kecairan, sementara pembayaran hutang menyedut sumber yang diperlukan untuk perkhidmatan awam.


"Sistem ini enggan berubah. Semasa pandemik Covid-19, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengeluarkan AS$650 bilion dalam Hak Pengeluaran Khas (SDR). Namun, dua pertiga daripada jumlah itu mengalir ke negara-negara kaya, meninggalkan serpihan sahaja kepada negara memerlukan. Beginilah cara tadbir urus global gagal dengan mengukuhkan ketidaksamaan daripada menghapuskannya," kritik Anwar.


Katanya pembaharuan juga perlu dilakukan dalam sistem perdagangan kerana walaupun terdapat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), amalan perdagangan tidak adil, langkah perlindungan dan halangan bukan tarif yang merugikan negara-negara membangun terus berlaku.


"Pasaran eksport kini tertumpu dan dikuasai oleh syarikat-syarikat besar dan platform digital. Keadaan ini menekan pendapatan buruh global dan memburukkan ketidaksamaan. Sekatan geopolitik, dasar perindustrian yang berfokus ke dalam, dan tindakan iklim unilateral menambah lagi halangan kepada peralihan hijau," katanya.


Perdana Menteri juga mahu pembaharuan kewangan dan keadilan iklim dilakukan ketika krisis membabitkan perubahan cuaca terus meningkat.


"Akibatnya ribut, banjir dan kemarau yang dahsyat – paling berat dirasai oleh golongan miskin. Kos bencana iklim kini lebih daripada dua kali ganda berbanding tiga dekad lalu


"Untuk menghapuskan kemiskinan dan mencapai daya tahan iklim untuk semua, kita mesti berusaha ke arah aliran sumber yang lebih seimbang yang menyokong mereka yang paling memerlukan," ujarnya.


Terdahulu Anwar berkata masyarakat antarabangsa memerlukan dasar multilateralisme lebih kukuh ketika kuasa unipolar yang kian meruntuh membentuk masa depan dunia yang tidak menentu.


Perdana Menteri berkata pilihan tersebut jelas kerana ia memerlukan peraturan global yang mengutamakan pembangunan adil, suara sebenar untuk negara membangun dan langkah tegas terhadap jenayah kemanusiaan.


"Kita menghadapi dua kemungkinan masa depan. Satu adalah pengukuhan multilateralisme yang memajukan inklusiviti, mengurangkan ketidaksamaan, dan membolehkan tindakan tegas terhadap cabaran seperti perubahan iklim.


"Pilihan lain adalah jalan menuju pembentukan blok kuasa dan pertikaian kian meningkat yang berisiko memperkukuh dominasi negara kaya atau mengurangkan multilateralisme kepada alat blok kuasa semata-mata.


"Kita memerlukan inklusiviti, kelestarian, dan keadilan," katanya.

0 comments

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page