Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama syarikat-syarikat gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam lawatan kerja tiga hari ke negara itu dalam usaha merapatkan hubungan dua hala selain melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Perdana Menteri memulakan lawatan hari kedua beliau dengan mengadakan pertemuan bersama tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar.
"Kami membincangkan memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama dalam tenaga boleh baharu (TBB), sekuriti makanan dan tenaga, kecerdasan buatan serta menangani isu serantau dan global bersama," katanya dalam hantaran di media sosial beliau.
Anwar berkata sewaktu pertemuan dengan ADIA diketuai Pengarah Urusan Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua pihak senada untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan yang dicapai semasa lawatan beliau terdahulu.
"Dalam pertemuan dengan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak, soal pelaburan baharu dan sedia ada turut dibincangkan," kata PM.
Perdana Menteri berkata isu terkait pelaburan projek-projek TBB adalah antara yang dibincangkan sewaktu pertemuan dengan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
"Insya-Allah, kita mengharapkan momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat yang disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri dan syarikat-syarikat gergasi UAE," katanya lagi.
Kommentarer