Oleh: Akmal Manaf
Lawatan Perdana (PM) Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Arab dan United Kingdom telah berjaya membawa masuk berbilion ringgit pelaburan baharu.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen nilai pelaburan yang dibawa balik ke Malaysia dalam lawatan ke United Kingdom sebanyak RM11 bilion misalnya merupakan bukti kejayaan pentadbiran Kerajaan Madani dalam menarik dana asing asing menanam modal.
Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa ekonomi negara kekal lemah di bawah pentadbiran PM Anwar.
Katanya, pihak yang memberi kenyataan itu bercakap tanpa bukti dan cuba menolak petanda pengukuhan ekonomi negara.
''Terbaharu dalam lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke London, United Kingdom (UK), kerajaan telah berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion.
''Nilai Ringgit dan pasaran saham juga telah naik. Macam mana pula (pihak tertentu) dakwa ekonomi negara lemah?
''Kalau kita lihat kepada semua tanda-tanda (positif), memang terbukti ekonomi negara tidak lemah di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu kata William Leong, fakta mengenai nilai eksport dan import terkini yang meningkat ke paras tertinggi pada 2024, dengan nilai dagangan berjumlah RM2.88 trilion, naik 9.2 peratus tahun ke tahun juga suatu bukti kejayaan ekonomi yang tidak boleh dikesampingkan.
Susulan itu katanya, ekonomi negara pada waktu ini boleh dianggap berada di landasan yang betul. Hal itu kerana andai ekonomi tidak berada di landasan yang sepatutnya, pelabur luar tidak akan yakin untuk melakukan pelaburan.
''Mereka memilih Malaysia sebagai tempat melabur walhal (banyak lagi negara Asia sebagai destinasi pelaburan).
''Jadi ini adalah fakta dan bukti yang kukuh menunjukkan bahawa pelabur asing dari seluruh dunia yakin terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar,'' katanya lagi.
Comentarios