Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan satu projek pembinaan rumah mampu milik melibatkan pelaburan bernilai RM13 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri pada bulan depan dan ia membuktikan keprihatinan serta komitmen kerajaan Madani bagi memastikan setiap rakyat mempunyai kediaman sendiri.
"Ini merupakan satu jumlah yang besar dan menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan semua rakyat mampu memiliki rumah, termasuklah penjawat awam. Sudah pasti penjawat awam juga tidak akan ketinggalan.
"Mereka (penjawat awam) juga akan diberikan ruang serta peluang, bagi yang memerlukan rumah mampu milik," katanya dipetik pada sidang media selepas melawat dan meninjau projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah semalam.
Beliau berkata perincian berhubung projek tersebut akan dimaklumkan oleh Anwar.
Semalam media melaporkan 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat belum memiliki rumah dengan majoritinya dalam kalangan kumpulan pelaksana.
Dalam pada itu, Kementerian Perumbahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata Kerajaan MADANI telah mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM156 juta untuk negeri Kelantan, termasuk RM150.4 juta daripada kementerian dan RM5.5 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
"Peruntukan ini disalurkan bagi tujuan pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam sempena siri jelajah Sentuhan Kasih 2.0 ke Negeri Kelantan hari ini," katanya.
Terdahulu Kor Ming bersama pasukan KPKT telah turun padang meninjau projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah.
Beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah.
"Ini menambah jumlah peruntukan untuk pasar tersebut sehingga RM6.5 juta dan akan digunakan untuk kerja-kerja mengecat struktur besi bumbung Laman Siti Khadijah dan membaik pulih struktur konkrit dalam pasar besar Siti Khadijah," katanya.
Selain itu, KPKT juga telah memperuntukkan RM48 juta untuk projek pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu serta RM12 juta untuk projek menaiktaraf gerai dan dataran Pantai Cahaya Bulan.
"Secara keseluruhannya, peruntukan KPKT sebanyak RM150.4 juta untuk pembangunan dan menaik taraf infrastruktur awam di negeri Kelantan," katanya.
コメント