Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand ke-31 Paetongtarn Shinawatra melalui panggilan telefon susulan upacara mengangkat sumpah jawatan itu pada 6 September lalu.
Perdana Menteri (PM) berkata beliau yakin hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh di bawah kepimpinan PM Paetongtarn.
"Malaysia dan Thailand berkongsi banyak kepentingan bersama mencakupi pelbagai bidang kerjasama.
"Saya juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Paetongtarn bagi melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand demi kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhannya," kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Paetongtarn, 37, PM termuda di Thailand mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Dewan Kediaman Amphorn Sathan, pada Jumaat lepas.
Beliau menggantikan bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin yang telah dipecat melalui satu keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Ogos lalu atas dakwaan kes etika berhubung pelantikan seorang peguam dengan sabitan jenayah ke dalam Kabinetnya, dalam kes yang dibawa oleh sekumpulan bekas senator yang dilantik oleh bekas junta pemerintah Thailand.
Comments