
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan acara tradisi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI pada tahun ini bagi meraikan hari raya bersama rakyat di lapan negeri bermula di Melaka pada 5 April.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memberitahu sambutan di Melaka menjadi penganjuran peringkat kebangsaan yang bakal dihadiri perdana menteri nanti.
Selepas itu, acara sama diadakan di Selangor (6 April) diikuti Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) serta Perlis (27 April), katanya.
"Perincian lanjut terkait lokasi akan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, selaku sekretariat induk Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025," katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia semalam.
Sebagaimana tahun lepas, Tunku Nashrul berkata penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI diselaraskan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai tuan rumah.
Serentak itu, beliau menyampaikan jemputan bagi pihak Perdana Menteri supaya rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya hadir ke majlis tersebut bagi menyemarakkan nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati serta muhibah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.
"Insya-Allah Perdana Menteri akan hadir bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri berkenaan.
"Majlis ini juga wadah penting untuk kita meredakan suhu ketegangan antara kaum dan agama serta menghormati serta meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat," katanya.
Kommentare